mutakhir

Bersembunyi di hotel selepas meragut

Oleh Melvin Joni

Kuching: Lelaki yang disyaki aktif dalam jenayah ragut di sekitar bandar raya ini ditahan polis di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan pegawia dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 11.10 malam.

"Suspek ditahan di sebuah hotel ternama yang dipercayai dijadikan sebagai tempat persembunyiannya sebaik sahaja melakukan jenayah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima satu laporan orang awam yang mendakwa menjadi mangsa ragut di Jalan Carpenter di sini, pada Rabu lalu.

Katanya, barang kemas mangsa iaitu rantai leher diragut menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

"Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek melakukan kegiatan ini secara berseorangan dan dipercayai aktif sejak Julai lalu," katanya.

Merbin berkata, pasukan serbuan turut berjaya merampas barang kes seperti kenderaan yang digunakan suspek ketika melakukan kegiatannya iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, dua motosikal, sejumlah wang tunai, topi keledar serta pakaian.

Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek itu dipercayai berjaya membantu pihaknya menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes samun dan ragut yang dilaporkan di sekitar bandar raya itu sejak Julai lalu.

Katanya, semakan ke atas rekod jenayah juga mendapati suspek mempunyai banyak rekod lampau berkait jenayah harta benda dan juga dadah.

"Suspek juga baharu sahaja dibebaskan daripada penjara pada Mac tahun ini atas kesalahan yang sama iaitu jenayah ragut.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine," katanya.

Merbin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun termasuk denda atau sebat.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 6:42pm
d