mutakhir

Dua sindiket judi kaut RM5.6 juta setahun tumpas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Kegiatan dua sindiket yang meraih jumlah keuntungan mencecah RM5.6 juta setahun terbongkar selepas pusat operasi mereka di dua ruang pejabat di pusat perniagaan di Jalan PJU 1A/2, Ara Damansara, di sini, diserbu hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggotanya yang diketuai Asisten Superintendan Mohamad Hafiza Mohamad Razali berjaya menahan lapan individu termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 44 tahun.

Katanya, serbuan jam 2 petang itu dilakukan hasil risikan selama 10 hari untuk mengenal pasti ruang pejabat berkenaan yang dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan.

"Ketika serbuan dilakukan, anggota polis terpaksa memecahkan pintu salah sebuah ruang pejabat yang terletak di tingkat lima sebelum menahan lelaki berperanan sebagai penyelia.

"Kami merampas enam komputer digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian di premis pertama," katanya.

Menurutnya, serbuan di ruang pejabat di tingkat enam pula membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang juga berperanan sebagai penyelia serta lima pekerja termasuk seorang wanita.

"Polis merampas 11 komputer serta pelbagai alat peranti internet dan telefon bimbit dalam serbuan itu," katanya.

Nik Ezanee berkata, semakan mendapati dua sindiket itu sudah menjalankan kegiatan judi dalam talian sejak setahun lalu dengan mempromosikan aktiviti berkenaan menggunakan media sosial.

"Kedua-dua sindiket ini dianggarkan mampu memungut jumlah pertaruhan mencecah RM18,000 sehari dengan jumlah keuntungan mencecah RM430,000 sebulan atau RM5.16 juta setahun.

"Ahli sindiket dipercayai menerima upah antara RM2,500 sehingga RM4,000 sebulan, manakala premis pejabat itu disewa pada harga RM1,600 sebulan.

"Siasatan awal mendapati dua sindiket itu mensasarkan warga tempatan sebagai pemain dengan menjalankan operasi 24 jam setiap hari," katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kaitan antara kedua-dua sindiket berkenaan.

"Semua suspek yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 9:41pm
d