mutakhir

Cadang syarikat penerbangan beri tambang murah sempena PRN Sabah

Oleh Yun Mikail

Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan semua syarikat penerbangan di negara ini menawarkan potongan harga khas tiket penerbangan ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah di Semenanjung dan Sarawak untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Semangat patriotisme dan cintakan tanah air ini wajar disokong oleh syarikat penerbangan di negara ini.

"Saya faham situasi kini sukar dan ekonomi terjejas akibat Covid-19 tetapi bagi mereka yang ingin balik mengundi, berilah kesempatan kepada anak Sabah ini pulang mengundi," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Sementara itu, Christina berkata seramai 5,966 orang rakyat negeri ini berada di luar Sabah berminat untuk pulang mengundi pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, Liew menyatakan sumbangan yang berjaya dikutip bagi tujuan berkenaan setakat ini ialah RM35,3057.

"Dengan nilai kutipan sekarang, kita hanya cukup boleh membawa pulang 101 orang sahaja dan masih ada baki lebih 4,000 orang yang belum mempunyai tiket penerbangan.

"Oleh itu, kita meminta orang awam atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk menderma atau menaja mereka balik mengundi ke Sabah," katanya

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 10:10pm
d