mutakhir

Haram makan, jual, agih daging tercemar

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Islam melarang untuk menjual, makan atau agih daging yang tercemar dengan bakteria yang pastinya memudaratkan kesihatan manusia.

Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman berkata demikian ketika dirujuk berhubung haiwan ternakan yang mati akibat bakteria penyakit Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah baru-baru ini.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah mengeluarkan arahan dan larangan kepada penternak berhubung hal itu. Oleh itu, penternak yang terjejas kerana penyakit HS itu perlu akur dan wajib mematuhi arahan JPV untuk kebaikan umum.

"Bukan sahaja menjual daging tercemar dengan bakteria Pasteurella Multocida Carter's Type B daripada HS itu malah jika mengagihkannya secara percuma juga haram dan berdosa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ahadi berkata, dia berharap penternak tidak menjual daging daripada ternakan yang dijangkiti HS untuk mengelak daripada mengalami kerugian.

"Saya yakin tiada siapa yang ingin memakan daging daripada ternakan yang berpenyakit. Sekiranya daging tercemar dengan bakteria itu dijual, pasti perbuatan itu tanpa pengetahuan pembeli sekali gus penjual di kira menipu dan menganiayai pelanggan.

"Penternak yang menghadapi musibah penyakit HS itu pasti mengalami kerugian yang besar kerana ternakan mati dalam jumlah yang banyak.

"Bagaimanapun ia tidak bermakna penternak boleh mengambil pendekatan menyembelih awal ternakan yang menghidap HS untuk mengelak kerugian," katanya.

Menurutnya, penularan wabak HS itu bukan bala seperti yang dianggap segelintir netizen sebaliknya ia adalah pengajaran dan ingatan daripada Allah kepada semua.

"Tidak tepat dan melampaui batas sekiranya masyarakat menganggap musibah itu sebagai bala kepada penternak dan melemparkan pelbagai tohmahan yang tidak berasas.

"Penyakit HS bukan bala, tetapi ingatan Allah kepada kita semua supaya bermuhasabah diri dan kembali kepadaNya. Sebelum ini, Allah turunkan ujian Covid-19 untuk kita tetapi sekarang wabak HS pula sebagai peringatan dan bukti kekuasaan Allah terhadap sesuatu," katanya.

Katanya lagi, dia berharap semua penternak yang terjejas termasuk Muhammad Syukur Khamis, 15, dan ahli keluarganya bersabar dan reda dengan ujian besar itu.

"Penternak terjejas perlu sabar dan reda dengan musibah itu. Memang akan berasa sedih tetapi jangan berlebih-lebihan.

"Paling penting jangan berputus asa daripada rahmat Allah dan serik untuk menternak lagi. Kita perlu yakin setiap yang berlaku mempunyai hikmahnya tersediri dan sekiranya bersabar akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kematian mengejut kerbau di beberapa kawasan termasuk di kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' kerana HS.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 12:47pm
d