mutakhir

Majikan, pekerja asing direman pasang Jalur Gemilang terbalik

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Pemilik kilang dan pekerja asing direman tiga hari bagi membantu siasatan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di kilang plastik dan acuan di Kawasan Perindustrian Senai, hari ini.

Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini.

Pemilik kilang berumur 56 tahun dan pekerja warga Indonesia berusia 23 tahun itu ditahan di kilang terbabit jam 2.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan perkara itu tular di Facebook.

Katanya, hasil soal siasat, majikan terbabit mengaku ada mengarahkan pekerjanya untuk menukar Jalur Gemilang yang lusuh kepada bendera baru tetapi tidak membuat pemantauan.

"Siasatan mendapati pekerja warga asing itu baru tiga bulan bekerja. Dia memasang bendera seorang diri tanpa kehadiran majikan di lokasi.

"Majikan itu memberitahu pekerja terbabit memasang bendera negeri dengan betul tetapi Jalur Gemilang dipasang terbalik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang & Nama (Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 dan 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 12:54pm
d