mutakhir

MB Kedah negatif Covid-19

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Semua sampel ujian saringan Covid-19 yang dijalani 56 individu termasuk Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam disahkan negatif.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan berkata, perkara itu disahkan oleh Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang hari ini.

Katanya, tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Exco Kesihatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, Exco Agama, Datuk Mohd Najmi Ahmad dan Exco Penerangan, Romani Wan Salim juga disahkan negatif.

"Selain itu, turut menjalani ujian berkenaan ialah pegawai Pejabat Menteri Besar Kedah dan sebilangan pimpinan Pas Kedah yang menghadiri program penyerahan sumbangan Pas Kedah kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Setar di Wisma Darul Aman, Isnin lalu.

"Bagaimanapun, sebagai langkah penjagaan diri, Dr Mohd Fikri mengingatkan semua individu termasuk yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan sosial," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang jurugambar Jabatan Penerangan Negeri Kedah yang menghadiri program penyerahan sumbangan bantuan di Wisma Darul Aman pada Isnin lalu, disahkan positif Covid-19.

Program itu turut dihadiri Muhammad Sanusi, tiga Exco, pegawai kerajaan, pimpinan Pas negeri dan petugas media menyebabkan mereka semua diarah menjalani ujian saringan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 1:13pm
    d