mutakhir

Sembunyi dalam kebun sayur elak ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tindakan seorang pengawal keselamatan bersembunyi di sebuah pondok kebun sayur berhampiran Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Pahang selepas membunuh rakannya tidak bertahan lama apabila berjaya ditahan polis, awal pagi hari ini.

Lelaki warga Nepal berusia 30 tahun itu disyaki menikam rakan senegaranya dalam kejadian pergaduhan di sebuah unit kondominium di Jalan Gurney 2, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis menerima maklumat berhubung pergaduhan warga asing di kondominium berkenaan daripada orang awam pada 2.40 petang.

Menurutnya, polis ke lokasi kejadian dan pemeriksaan menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Mangsa warga Nepal berusia 27 tahun dipercayai diserang dengan menggunakan senjata tajam.

"Hasil siasatan awal, suspek dan mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mereka tinggal bersama enam lagi rakan senegara di kondominium itu yang dijadikan sebagai asrama sejak enam bulan lalu.

"Menurut keterangan saksi, mangsa dan suspek disyaki dalam keadaan mabuk dan berlaku pertengkaran hingga menyebabkan mangsa ditikam. Suspek yang panik kemudiannya melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rajab berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebilah pisau berukuran 12 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek berhampiran lokasi kejadian.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan suspek di sebuah pondok kebun sayur berhampiran Kampung Bukit Tinggi, Bentong, pada 1 pagi.

"Suspek direman pagi ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Shukri Abd Razak di talian 016-6691339 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Asisten Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly di talian 0172446363 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 1:25pm
d