mutakhir

Lemas tarik bubu

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Lelaki yang dilaporkan terjatuh ke sungai ketika menarik bubu di Sungai Dinding, Segari di sini, semalam ditemui lemas hari ini.

Mangsa, Azrin Hamidun, 30-an, yang dipercayai terjatuh satu kilometer dari tebing sungai ditemui pada 8.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 8 malam tadi.

"Susulan itu, polis bersama pasukan bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum mayat mangsa ditemui terapung oleh nelayan pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Omar berkata, mayatnya dibawa ke Jeti Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.28 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

"Mayat mangsa ditemui nelayan yang menyertai operasi pada jarak empat kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 2:28pm
d