mutakhir

PRN Sabah: Sejak bila saya takut bayang-bayang dia?- Shafie

Oleh Rafiqah Dahali

Papar: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang menyatakan beliau takut dengan bayang-bayangnya.

Shafie berkata beliau tidak langsung berasa takut seperti yang didakwa Musa.

"Sejak bila saya takut dengan bayang-bayang dia? Itu dia yang cakap, saya tidak takut dengan bayang siapa-siapa pun.

"Apa yang penting sekarang ini ialah kita akan menghadapi dan lawan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). Jadi saya tidak perlu layan dia.

"Dia (Musa) jangan berlindung di belakang tabir, mahu rebut kuasa dengan gunakan wang semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Majlis Ramah Mesra Rakyat Papar bertempat di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Musa mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa Shafie seolah-olah takut dengan bayang-bayangnya hingga berterusan memfitnah, menghina dan mengaibkan dirinya ketika berkempen.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 2:56pm
d