mutakhir

Pesara maut terperangkap dalam kebakaran

Oleh Norzamira Che Noh

Banting : Warga emas maut manakala isteri terselamat dalam kebakaran rumah di Taman Seri, Telok Datok, dekat sini, tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mayat Kahar Md Yusof, 84, ditemui di katil di bilik hadapan rumah satu tingkat itu.

"Anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah malam dan sebaik tiba di lokasi, kami mendapati rumah itu terbakar 30 peratus di bahagian hadapan dan dilaporkan seorang mangsa terperangkap.

"Mayat warga emas itu ditemui di katil bilik hadapan manakala isterinya, Muzlifah Mohd, 72, terselamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis manakala isteri mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Banting.

Katanya, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, ketika kebakaran berlaku isteri mangsa diselamatkan oleh jiran selepas terdengar jeritannya.

"Bagaimanapun mangsa tidak dapat diselamatkan berikutan api yang marak ekoran terdapat banyak kotak dan surat khabar berdekatan bilik itu.

"Mangsa yang juga pesara kerajaan sudah uzur dan berkemungkinan mengalami kesukaran untuk menyelamatkan diri," katanya.

Difahamkan, warga emas itu hanya tinggal berdua di rumah berkenaan.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 3:06pm
d