mutakhir

Basmi kemiskinan ikut keperluan setempat

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Usaha membasmi kemiskinan khususnya di Sabah akan dilaksanakan mengikut pendekatan baharu yang lebih bersasar dengan melihat kepada keperluan setempat sesuatu daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pendekatan itu akan digunakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bermula tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan akan menilai program pembasmian kemiskinan yang sesuai berdasarkan kajian yang dijalankan bagi memastikan ia benar-benar berkesan untuk membantu menurunkan kadar kemiskinan.

"Strategi membasmi kemiskinan yang akan dimasukkan dalam RMK-12, antaranya kita akan tumpukan mengikut tempat. Contohnya, kita akan lihat di Kudat, Beaufort, Pulau Gaya dan tempat lain apa program kemiskinan yang boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Libat Urus Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) sempena Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, isu kemiskinan sentiasa berlaku selaras perubahan semasa disebabkan pelbagai faktor termasuk akibat kemerosotan sesuatu industri yang menyebabkan ramai orang hilang pendapatan tetap dan terpaksa mencari kerja lain.

"Contohnya di Sarawak saya ada bercakap dengan kumpulan kecil di sana yang mana hidup mereka dulu senang kerana ada aktiviti pembalakan. Apabila aktiviti itu merosot, mereka terpaksa berhijrah ke bandar untuk cari kerja tapi tidak tetap, gaji hari.

"Apabila orang yang kerja di sesuatu industri itu terjejas, maka mereka mudah jatuh miskin dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau turut memberi contoh, kawasan yang satu ketika dulu pernah dikenal pasti ramai penduduk miskin berubah apabila kawasan itu dimajukan dengan aktiviti ekonomi yang mampu menyediakan peluang pekerjaan dan menambah pendapatan penduduk.

Katanya, di Langkawi, Kedah satu ketika dulu ramai penduduknya miskin dengan kebanyakannya menjadi nelayan kini berubah selepas ia dijadikan pulau bebas cukai dan menjadi tumpuan pelancong.

Mustapa berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk mencari jalan menyelesaikan isu kemiskinan yang berlaku di negara ini kerana ia menjadi petunjuk kejayaan atau kegagalan sebuah kerajaan.

"Kemiskinan ada di mana-mana negara tapi kalau dibiarkan semakin ramai orang yang miskin ia menunjukkan kita gagal, dasar kerajaan kurang berkesan menangani kemiskinan.

"Ini kerana kadar kemiskinan selalunya adalah antara perkara yang dinilai sama ada sesebuah kerajaan itu berjaya atau tidak," katanya.

Terdahulu, Pensyarah Kanan Program Sosiologi dan Antropologi Sosial, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Jalihah Md Shah, berkata pertindihan antara agensi yang terbabit dalam membasmi kemiskinan antara punca usaha ke arah menyelesaikan masalah itu tidak berkesan.

Pada masa yang sama katanya ada program bantuan kepada golongan miskin tidak sampai seperti yang diharapkan disebabkan kegagalan agensi memantau kontraktor yang melaksanakan program berkenaan.

"Contohnya, bantuan anak ayam atau itik kepada golongan sasar, sepatutnya ada 100 ekor diserahkan kepada penerima tetapi yang sampai hanya 70 ekor. Ini juga boleh menjejaskan usaha kita membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau berkata, agensi pelaksana juga perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak universiti atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu melaksanakan program pembasmian kemiskinan kerana ia mempunyai pakar dan pengalaman yang diperlukan.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 3:39pm
d