mutakhir

'Abah bawa baldi berisi air nak padam api' [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: "Adik beritahu abah ada asap dalam biliknya, lalu abah terus naik untuk tengok, namun kelibat abah tidak muncul sejurus itu hingga dia kemudian ditemui sudah tidak bernyawa," kata Azizi Azali, 36, anak sulung kepada Azali Saad, 64, yang meninggal dunia dalam kebakaran di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek, di sini, pagi ini.

Azizi berkata, dia bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan telefon berhubung insiden yang menimpa ahli keluarganya.

"Apabila tiba saya nampak adik saya berada di dalam ambulans dan menitipkan pesanan supaya pergi melihat abah kerana dia perlu ke hospital akibat sesak nafas selepas terhidu asap.

"Sebelum itu dia menceritakan situasi kejadian yang mana abah naik ke bilik membawa baldi berisi air untuk memadamkan kebakaran namun sebaliknya yang berlaku.

"Mujurlah mak bersama seorang penyewa di situ sempat keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di unit forensik, Hospital Kepala Batas, di sini, hari ini.

Azizi berkata, adik, Khairil Azali, 25, mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal ketika cuba menyelamatkan bapa mereka namun tidak berjaya.

Menurutnya, ibu bapa dan adik bongsunya menyewa bilik di rumah berkenaan sejak lima tahun lalu bersama seorang lagi penyewa.

"Sebelum ini , ibu bapa kami tinggal di sebuah rumah dekat Bagan Jermal namun menyewa di situ kerana mahu menjaga rumah kenalan mereka.

"Keadaan dalaman rumah pula agak uzur apabila pendawaian elektrik terlalu lama yang mungkin menyebabkan berlakunya litar pintas," katanya.

Azizi berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya adalah petang semalam kerana mahu mengambil cukai jalan termasuk memberi sedikit wang saku.

"Saya agak sibuk bekerja, jadi tidak ada masa perbaharui cukai jalan, maka minta tolong dengan abah. Mak beritahu abah pergi dengan motosikal untuk perbaharui cukai jalan saya sedangkan ketika itu hujan.

"Kereta ada tetapi abah sengaja pergi naik motosikal. Mengenangkan pengorbanan abah pada saya buat saya jadi sedih tetapi reda dengan ketentuan Ilahi.

"Apa yang buat saya lebih sedih adalah wang saku yang diberikan kepada abah masih tidak digunakan apabila anggota bomba memberikan semula kepada saya termasuk telefon bimbit dan jam tangan yang mereka jumpa di bilik terbabit," katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi tadi, Azali ditemui meninggal dunia di bilik di rumah dua tingkat disewanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Kubang Buaya dekat sini selepas proses bedah siasat selesai.

Berita berkaitan

Warga emas maut terperangkap dalam kebakaran

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 3:40pm
d