mutakhir

Tak perlu layan tuntutan Filipina [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Ruang rundingan yang dibuka kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara tidak langsung mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, sepatutnya isu tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak dilayan.

Menurutnya, ia sekali gus membuka ruang kepada negara berkenaan untuk membawa isu tuntutan itu ke Mahkamah Antarabangsa kerana perundingan itu membuktikan tuntutan mereka berasas.

"Ketika saya mengetuai Kementerian Luar, kita sama sekali tidak melayan sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah dalam apa cara sekali pun.

"Ruang perundingan yang diberikan Ketua Menteri membolehkan Filipina membawa isu ini untuk perhatian Mahkamah Antarabangsa," katanya ketika temu bual khas bersama NSTP.

Anifah yang juga calon kerusi Bongawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berkata, Sabah juga sudah diiktiraf sebahagian daripada Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, isu sedemikian hanya akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sabah sekiranya isu berkenaan terus dipolitikkan.

Mengulas lanjut mengenai PRN Sabah, Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PBS) berkata, parti itu menampilkan calon muda untuk mewakili suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

"PCS didatangi ramai anak muda yang berkelayakan untuk menawarkan diri sebagai calon dan ini satu pembaharuan dalam landskap politik Sabah.

"Walaupun baru berusia sebulan, PCS yakin dapat meraih kepercayaan rakyat Sabah dengan kombinasi calon muda dan berpengalaman," katanya.

PCS membuat kejutan apabila menawarkan diri bertanding di 73 kerusi Dun dalam PRN Sabah kali ini.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 3:54pm
d