mutakhir

Pegawai kanan ATM bergelar Datuk ditahan SPRM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: Seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar 'Datuk' yang disyaki ada kaitan dengan Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak bernilai RM800 juta ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai hari ini.

Suspek berusia 62 tahun itu dan seorang pengarah syarikat pembekal berusia 56 tahun ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu projek naik taraf jalan raya di pedalaman Sarawak.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, tuntutan itu membabitkan pelaksanaan 10 projek jalan negeri di pedalaman Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM800 juta.

Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak seperti Kapit, Ba'Kelalan, Belaga dan Limbang, yang dikenali sebagai 'Projek Jiwa Murni' di bawah kementerian berkenaan.

Projek itu dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak tahun 2010 hingga 2016.

Perintah reman terhadap dua suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Siti Roslizawati Mohd Zanin.

Pada 8 September lalu, SPRM menahan dua pengarah syarikat bergelar Dato kerana disyaki melakukan rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit daripada Kementerian Pertahanan Malaysia berhubung pelaksanaan 10 Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak bernilai RM800 juta.

Kedua-dua pengarah syarikat berusia 44 tahun adalah rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan.

Menurut sumber, projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dinamakan "Projek Jiwa Murni" ini di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak tahun 2010 hingga 2016.

Tambahnya, banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi. Ada antara jalan-jalan ini tidak lagi dapat digunakan dan rosak selepas beberapa bulan dibina.

"Hasil kajian teknikal mendapati jalan-jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya.

"Jalan-jalan ini hanya diletakkan lapisan TAR yang dianggarkan hanya setebal 2 inci di atas permukaan tanah. Tiada lapisan batu kerikil dan pasir seperti mana dalam syarat kontrak. Ini menyebabkan jalan yang dilalui oleh kenderaan berat termasuk lori-lori balak mudah rosak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan sebagai jalan penghubung antara kawasan-kawasan pedalaman," katanya.

Difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak sudah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih serta menaiktaraf jalan-jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya.

"Ini menyebabkan kos bagi membaikpulih bertambah sekali ganda. Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

"Selain itu, sumber menjelaskan bahawa perkara yang paling mengejutkan ialah mengenai perlantikan empat kontraktor baru oleh JKR Negeri.Ini kerana salah satu syarikat yang mendapat projek menaiktaraf dan membaikpulih jalan-jalan berkenaan disyaki dimiliki oleh pengarah syarikat yang ditahan," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 4:15pm
d