mutakhir

370 pemakluman berita palsu berkaitan Covid-19 - Saifuddin

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengeluarkan 370 pemakluman berita palsu berkaitan pandemik Covid-19 di seluruh negara setakat ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia termasuk berita palsu membabitkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia dikesan hasil pemantauan Pasukan Respon Pantas (PRP) yang bertanggungjawab memantau berita palsu tersebar di media sosial.

"PRP ini bertugas untuk memantau berita-berita palsu khususnya yang membabitkan agensi kerajaan yang perlu diperbetulkan dan diberi maklumat yang sahih," katanya kepada pemberita selepas membuka 'Sabah Election Media Lounge', di sini hari ini.

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini pula katanya, PRP turut memantau berita-berita palsu supaya pilihan raya itu dapat berjalan dengan aman dan tenteram.

Mengenai Sabah Election Media Lounge, Saifuddin berkata ia bukan pusat media rasmi, sebaliknya tempat santai untuk wartawan menghantar berita sambil menikmati suasana yang tenang.

"Ini adalah tempat bagi para wartawan untuk bekerja pada waktu yang lebih fleksibel," katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 4:27pm
d