mutakhir

Warga emas kematian terbaru Covid-19, 20 kes baharu direkodkan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Satu kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik ini kepada 130 kes atau 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) turut melaporkan 20 kes positif baharu jangkitan Covid-19 setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes 10,167 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-130 (kes ke-9,578) membabitkan lelaki warganegara berusia 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit angin ahmar serta sukar bergerak sendiri sejak Mac lalu akibat patah tulang utama di kaki.

"Dia mengalami gejala demam pada 4 September, namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 7 September beliau dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu yang juga kes positif dalam Kluster Sungai (kes ke-9,458 dan ke-9,547) lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Saringan Covid-19 didapati positif pada 9 September dan keadaannya merosot lalu dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau disahkan meninggal dunia jam 5.45 petang semalam," katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di New Zealand, Qatar dan India membabitkan dua warganegara serta satu bukan warganegara.

"Sebanyak 17 kes penularan dalam negara membabitkan 14 warganegara dan tiga bukan warganegara.

"Sembilan kes dilaporkan di Kedah iaitu lapan daripada Kluster Sungai dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah.

"Lapan kes lagi di Sabah membabitkan tiga kes saringan rujukan ke Hospital Tawau dari Hospital Semporna yang membabitkan dua bukan warganegara, masing-masing satu kes SARI di Hospital Tawau, saringan pra pembedahan di Hospital Keningau, saringan komuniti di Tawau, Kluster Benteng LD dan Kluster Bakau iaitu kluster baharu di Semporna," katanya.

Katanya, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di ICU dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, katanya, 51 kes pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah sebanyak 9,315 kes iaitu 91.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 6:07pm
    d