mutakhir

Rumah calon Bebas DUN Labuk musnah terbakar

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Beluran: Ketika sibuk berkempen, calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang menerima berita sedih apabila rumahnya di Kampung Muanad Tiga, musnah terbakar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, sebuah kenderaan turut musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.35 petang.

Menurutnya, 14 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer dari BBP Beluran.

"Sebaik tiba, api sudah marak tetapi tindakan pantas anggota bomba berjaya mengelak api daripada merebak ke rumah berhampiran.

"Sejam selepas kejadian, api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi memadamkan kebakaran pihaknya berdepan cabaran mendapatkan sumber bekalan air.

"Operasi pemadaman pada mulanya menggunakan sumber air daripada jentera berikutan di kawasan itu tidak terdapat pili bomba.

"Namun kami turut menggunakan sumber air terbuka kawasan kolam berhampiran.

"Kejadian tidak membabitkan kecederaan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 8:22pm
d