mutakhir

Air laut tenggelamkan rumahku

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: "Saya dan anak hanya mampu melihat air laut masuk ke dalam rumah. Tanpa berlengah, kami terus keluar dan menuju ke jalan utama," kata penduduk Kampung Sungai Janggut, Jeram di sini, Mohd Helmi Husin, 48.

Mohd Helmi berkata, ketika kejadian, hanya dia bersama anak lelaki, Hadeq Al Faris, 15, berada di rumah berkenaan.

"Beberapa hari sebelum kejadian, rakan sekampung mengingatkan saya supaya berjaga-jaga dengan fenomena air laut pasang besar. Susulan itu saya segera mengemas barangan sebagai persiapan awal.

"Kira-kira jam 7.30 pagi tadi, air naik secara mendadak hingga mencecah paras betis di halaman dan dapur rumah.

"Saya kemudian mengajak anak keluar dari rumah dan kami menuju ke jalan utama. Kami berada di situ (jalan utama) selama 30 minit sementara menunggu air surut," katanya ketika ditemui Harian Metro, tadi.

Beliau berkata, fenomena air laut pasang besar itu antara yang paling buruk pernah dialaminya sejak lapan tahun menetap di kampung berkenaan.

"Kalau diikutkan, setiap tahun fenomena ini berlaku. Setiap kali diumumkan (fenomena air laut pasang besar), saya bimbang untuk membeli peralatan elektrik kerana khuatir bencana sama berulang kembali.

"Justeru, saya harap pihak berkuasa bertindak segera bagi mengatasi perkara ini selain membantu penduduk yang mengalami banyak kerosakan rumah serta barang," katanya.

Menurut Mohd Helmi, dia turut dimaklumkan pihak berkuasa mengenai fenomena itu yang akan berlaku lagi pada esok hari.

"Saya dimaklumkan mereka (pihak berkuasa) mengenai fenomena ini dan berkemungkinan air menjadi lebih tinggi lagi. Untuk itu, saya kena bersedia dari sekarang bagi menghadapi segala kemungkinan," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 8:51pm
d