mutakhir

20 lagi jemaah tabligh terkandas di India selamat pulang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 20 jemaah tabligh Malaysia di New Delhi dan Mumbai, India selamat tiba di tanah air pada 3.40 petang semalam, melalui Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar berkata, mereka adalah kumpulan kelima yang berjaya dibawa pulang menggunakan pesawat Air India Express (IX1122).

"Sebelum ini seramai 124 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia dibawa pulang menerusi empat misi HADR pada 18, 22, 29 Julai dan 26 Ogos lalu.

"Semua rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin (QS) sejajar peraturan ditetapkan kerajaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, setakat ini seramai 144 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India sudah dibawa pulang.

Katanya, baki 45 individu lagi yang berada di India sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah iaitu New Delhi, Bihar, Telangana dan Tamil Nadu.

"Kementerian memantau rapat perkembangan rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

"Kami juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki rakyat Malaysia yang masih berada di sana," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terbabit terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan rakyat Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 10:55pm
    d