mutakhir

Padah pindahkan kerbau

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Tindakan seorang peraih haiwan ternakan cuba memindahkan dua kerbau miliknya ke kawasan lain membawa padah apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, semalam.

Lori tiga tan dipandu lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di tepi sebuah kedai makan di Kampung Batu Hampar, Manir, 11.50 pagi tadi.

Penahanan lori itu dijalankan mengikut Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum menjalankan risikan dan rondaan ke kawasan itu seterusnya membuat tangkapan berkenaan.

"Saya difahamkan peraih haiwan ternakan itu sudah kerap melakukan kesilapan yang sama sebelum ini, malah sudah pernah diambil tindakan.

"Malangnya, dia (peraih) tidak pernah serik dan tetap mengulangi kesilapan yang sama biarpun pada musim penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) menular sekarang.

"Dalam musim penyakit HS sekarang, kesalahan seperti itu tidak boleh dimaafkan biarpun pemindahan itu dibuat dalam jarak dua kilometer sahaja di dalam kampung yang sama kerana risikonya terlalu tinggi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Termizi berkata, kes disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu, perintah mengikut Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.

"Saya harap semua peraih, penternak atau peniaga haiwan ternakan di kawasan Marang dan Kuala Terengganu mematuhi arahan dan larangan memindah ternakan yang dikeluarkan JPV dalam usaha membendung penularan penyakit HS di negeri ini.

"Kesalahan seperti itu membuatkan kes penyakit berjangkit seperti HS, kuku dan mulut cepat merebak ke kawasan lain serta sukar dikawal," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengeluarkan amaran bagi melarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau HS.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 10:45am
d