mutakhir

Kelar leher sendiri

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Seorang lelaki cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya di sebuah rumah bot di Tasik Kenyir, di sini, semalam.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakannya.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.37 malam mengenai kejadian sebelum Pasukan Polis Marin Tasik Kenyir bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

"Hasil rakaman percakapan dengan adiknya, lelaki terbabit dikatakan ada menyatakan mahu membunuh diri seminggu sebelum kejadian itu," katanya.

Mohd Adli berkata, mangsa juga dikatakan mempunyai masalah mental dan sering mendapatkan rawatan di HHT.

Katanya, mangsa bagaimanapun dikatakan tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan seperti biasa sebelum masuk berkerja di rumah bot itu.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri akan dipindahkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan sedang dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 11:00am
d