mutakhir

Sita empat bar tersembunyi di Jalan Petaling

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bukan hanya menyediakan minuman keras tetapi bar tersembunyi yang terletak di Jalan Petaling di sini, turut dihias dengan dekorasi tampak eksklusif untuk tarikan pelanggan.

Terletak di tingkat satu sebuah bangunan perniagaan, bar itu juga diperincikan dengan pintu berkod keselamatan tinggi dan difahamkan hanya menyasarkan pelanggan tetap dan individu tertentu yang tahu kewujudannya.

Bagaimanapun, taktik pengusaha tidak bertahan lama apabila kegiatan berjaya dikesan pihak berkuasa dan serbuan dilakukan di empat premis berasingan, malam tadi.

Serbuan sempena Operasi Tegas Banteras Aktiviti Haram (TEBAH) itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, operasi itu bermula 10 malam hingga 1 pagi membabitkan kekuatan 175 pegawai dan anggota, dilakukan hasil maklumat awam serta risikan selama seminggu.

"Ramai yang tak tahu kewujudan bar itu tapi berdasarkan maklumat awam, kita buat risikan dan menyerbu premis berkenaan.

"Kita kesan ada empat bar tersembunyi dan pemeriksaan mendapati kesemua premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan dan lesen hiburan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Mengulas lanjut, Osman berkata, terdapat juga pengusaha bar yang menyediakan rumah tumpangan tanpa lesen di bangunan yang sama.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mengarahkan pengusaha terbabit menghentikan operasi rumah tumpangan berkenaan dan meminta penghuni mengosongkan premis dalam tempoh 24 jam sebelum tindakan sita diambil.

Beliau berkata, polis turut mengambil tindakan terhadap 61 individu iaitu 52 tempatan dan sembilan warga asing mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut. Jika didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang," katanya.

Osman memberitahu pihaknya akan meneruskan operasi itu dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menjalankan aktiviti haram.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 11:20am
d