mutakhir

Kes denggi di Johor membimbangkan

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Johor mencatatkan situasi wabak denggi amat membimbangkan apabila sebanyak 8,707 kes denggi dilaporkan sehingga minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu berkata, ia adalah peningkatan sebanyak 6.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya mencatatkan sebanyak 8,200 kes.

Katanya, kes kematian akibat wabak itu juga meningkat kepada 32 kes berbanding dengan 21 kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Dalam mencapai matlamat Johor Perangi Denggi 2020, iaitu menurunkan beban kes denggi pelbagai usaha dijalankan untuk memastikan masyarakat peka dan sama-sama bertanggungjawab menghentikan penularan denggi.

"Ia termasuk pelaksanaan Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) iaitu aktiviti utama yang dijalankan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

"OPPI adalah operasi bersepadu yang membabitkan agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Bahagian Penguatkuasaan dan Kawal Selia Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

"Sekiranya terdapat atau dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, maka kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan serta-merta dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Aman berkata, Jabatan Kesihatan Johor mengadakan aktiviti OPPI di kawasan wabak denggi Bandar Baru Uda (BBU), semalam.

"Faktor utama kawasan ini dipilih adalah kerana kurangnya kerjasama daripada penduduk membenarkan premis mereka dimasuki untuk dibuat pemeriksaan tempat pembiakan Aedes.

"Sejak 1 Januari sehingga 12 September sebanyak 156 kes denggi dilaporkan daripada kawasan BBU.

"Sebanyak 1,014 premis diperiksa semasa operasi ini dan daripada jumlah itu sebanyak 14 premis (1.3 peratus) didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik," katanya.

Beliau berkata, di persekitaran awam pula, sebanyak 26 tempat pembiakan ditemui di antaranya di bekas plastik dan pasu bunga yang terbiar.

Katanya, dalam mencegah denggi, masyarakat perlu memainkan peranan aktif bagi mencari dan memusnahkan tempat takungan di kediaman mereka yang boleh menjadi pembiakan Aedes, termasuk penjagaan kebersihan persekitaran dan pembuangan sampah secara teratur.

"Sekiranya ada dari kalangan keluarga yang demam, mendapatkan rawatan segera di klinik adalah perkara yang perlu diambil berat oleh semua individu.

"Masyarakat juga harus memberi kerjasama kepada petugas kesihatan yang melakukan pemeriksaan rumah atau semburan kabus, terutama di kawasan kes denggi," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 11:44am
d