mutakhir

'Kubur berdarah': Tunggu siasatan polis

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Orang ramai diminta supaya berhenti daripada membuat andaian dan tidak terus menularkan video 'kubur berdarah' di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al Irfan, Derga, di sini.

Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Ahmad Faisol Omar berkata, sehingga kini pihaknya sedang menunggu siasatan pihak polis sebelum mengulas lanjut mengenai isu terbabit.

"Sebagai pegawai agama daerah, saya nasihatkan supaya tidak menularkan video demi menjaga sensitiviti dan perasaan ahli keluarga mangsa.

"Pihak saya tidak dapat mengesahkan perkara ini dan keputusan sebenar memerlukan hasil siasatan forensik," katanya .

Terdahulu, Ahmad Faisol berkata, beliau sudah turun padang melihat keadaan kubur ditularkan di media sosial itu, semalam.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat buat sebarang pengesahan berhubung cecair berwarna merah di kubur selain ia sudah ditimbus dengan tanah.

"Kita serahkan kepada polis memandangkan kes terbabit dalam siasatan pihak berwajib," katanya.

Sementara itu, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapat maklumat daripada sumber boleh berpegang mengenai kejadian sebenar.

Malam tadi, beberapa gambar dan video 'kubur berdarah' di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al Irfan, Derga, menjadi tular di laman sosial.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan kejadian aneh menggemparkan masyarakat setempat hingga ramai penduduk datang untuk melihat sendiri keadaan itu.

Berita berkaitan

Laporan polis dibuat susulan tular kubur 'berdarah' [METROTV]

'Arwah orang baik, henti tular kisah kubur berdarah' - Imam

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 2:55pm
d