mutakhir

Warga emas tinggal dalam hutan diselamatkan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Unit Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengambil masa lebih sejam memujuk seorang lelaki warga emas yang tinggal di kawasan hutan kecil di tepi pantai Teluk Chempedak, di sini, untuk ditempatkan di pusat jagaan warga emas.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 60 tahun itu dipercayai tinggal di pesisir pantai Teluk Chempedak sejak beberapa minggu sebelum pihaknya dimaklumkan orang awam yang berkunjung ke pusat perkelahan itu.

Beliau berkata, sebelum ini warga emas terbabit dilihat merayau di kawasan premis di Teluk Chempedak untuk mencari makanan dan pada sebelah malam, dia tidur di kawasan hutan kecil di pesisir pantai.

"JKM memandang serius mengenai warga emas tidak mempunyai tempat tinggal selain merayau untuk mencari makan sambil meminta sedekah dan bantuan sewajarnya akan diberikan bagi memastikan keselamatannya.

"Walaupun pada peringkat awal dia tidak berminat untuk ditempatkan di rumah warga emas, anggota Penguatkuasaan JKM akhirnya berjaya memujuknya.

"Kami tempatkan sementara lelaki terbabit di pusat warga emas di daerah ini sebelum tindakan selanjutnya dilakukan pihak JKM," katanya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati warga emas berkenaan berasal dari Kuantan dan mempunyai keluarga di daerah ini manakala ibunya berusia 80 tahun menetap di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang papa dan usaha membela nasib warga emas itu dilakukan termasuk mengesan ahli keluarganya.

"JKM Pahang sentiasa berusaha membela nasib warga emas termasuk gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal, bantuan tempat tinggal akan disediakan supaya mereka lebih selamat.

"Justeru saya berharap masyarakat dapat menjadi mata dan telinga JKM dengan menyalurkan maklumat sekiranya melihat golongan warga emas dan gelandangan yang tidak terbela nasib mereka," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 3:17pm
d