mutakhir

Jangan lupa diri bila menang - Bung Moktar [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Likas: Calon Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diingatkan supaya 'kembali' kepada rakyat yang memberi mandat kepada mereka.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan BN sekali lagi ditolak rakyat seperti Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Menurutnya, kegagalan menterjemahkan hasrat dan kemahuan rakyat menyebabkan BN ditolak namun keyakinan itu kembali selepas perubahan drastik dilaksanakan kepimpinan parti itu.

"Jangan lupa diri bila jadi wakil rakyat. Rakyat tolak sebab tiada perubahan maka sebuah parti itu akan berakhir (jatuh).

"Apabila menang nanti, kena tahu apa yang rakyat mahukan. Jaga mereka jika tidak mahu BN ditendang sekali lagi," katanya dalam temu bual khas bersama NSTP.

Bung Moktar yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berkata, beliau sudah bertemu hati ke hati dengan calon BN bagi mendapatkan janji kesetiaan mereka terhadap parti.

Katanya, mereka juga memberi jaminan untuk terus setia dalam perjuangan bersama payung BN kerana menang atas tiket parti itu.

"Rakyat sudah bosan dengan keadaan ini (lompat parti) jadi saya sudah bertemu dan berbicara dari hati ke hati bersama semua calon BN.

"Mereka menyatakan kesetiaan bersama BN dan akan terus berkhidmat kepada rakyat sebaik mandat diberikan Sabtu ini," katanya.

Katanya, kini fokus BN adalah menebus semula kekalahan yang lalu dan berharap mandat diberikan kembali untuk membawa Sabah ke arah lebih baik dan maju berbanding sebelum ini.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 3:40pm
d