mutakhir

Suami isteri cedera dipukul guna batu bata

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Suami isteri menanggung kesakitan selepas dipukul menggunakan batu bata dan ditumbuk dalam kejadian di Kampung Padang Kubu, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku apabila suami isteri itu ke rumah jiran mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk bertanyakan mengenai kehilangan kasut mereka pada 12.15 tengah hari.

Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun yang sedang berehat di rumah didatangi pasangan berkenaan yang bertanya tempat anaknya meletakkan kasut mereka.

Katanya, suspek yang tidak berpuas hati dengan pertanyaan itu berikutan seolah-olah menuduh anaknya mencuri menghampiri mangsa lelaki berusia 27 tahun lalu menumbuk mukanya beberapa kali.

"Suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil batu bata lalu memukul belakang kepala dan leher mangsa sehingga batu bata itu pecah.

"Isteri mangsa yang berada di tempat kejadian cuba menghalang perbuatan suspek, namun dia turut dipukul di tangan menggunakan batu bata pecah itu.

"Suspek berterusan memukul pasangan itu sehingga mereka cedera di kepala dan leher sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Puteh untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan di rumahnya pada 6 petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua barang kes iaitu satu batu bata masih elok dan satu batu bata pecah yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kedua-dua mangsa.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 3:54pm
d