mutakhir

Hajiji ambil tindakan undang-undang pihak tabur fitnah

Oleh BERNAMA

Tuaran: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menularkan video mendakwa beliau merampas tanah orang kampung untuk diserahkan kepada syarikat miliknya.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan seperti laporan polis dan saman akan dibuat dalam masa terdekat sebagai maklum balas berhubung dakwaan yang dilihat satu agenda bagi menjatuhkan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Itu tidak betul. Perkara ini saya rujuk kepada peguam saya termasuk (tindakan) saman. Ini fitnah dan bukan fakta. Dalam politik boleh cakap apa sahaja tapi cakaplah yang betul, jangan main cakap sahaja. Tindakan ini (adalah satu tindakan) 'terdesak," katanya.

Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman itu berkata demikian selepas program ramah mesra di Kampung Selaud di sini.

Hadir sama Naib Presiden Bersatu merangkap EXCO Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Video yang tular di media sosial itu mendakwa Hajiji merampas 30 ekar tanah orang kampung di Kuala Tongol, Tuaran dan diserahkan kepada syarikat miliknya.

Pada PRN Sabah kali ini, penyandang kerusi DUN Sulaman selama enam penggal sejak 1990 itu berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Rekan Hussein dan calon WARISAN yang juga anak saudaranya, Datuk Aliasgar Basir.

Terdahulu dalam majlis hari itu, Hajiji meminta rakyat Sabah mengubah nasib mereka yang terabai sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan negeri sebelum ini dengan membuat keputusan bijak pada hari pengundian Sabtu depan.

"Ini peluang keemasan. Kita tidak mahu lagi dengar cerita dan cakap pihak di sebelah sana yang kononnya sudah buat macam-macam untuk rakyat Sabah.

"Kita mahu negeri yang membangun dan keselamatan terjaga," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 4:43pm
d