mutakhir

Henti kerja tapak SUKE serta-merta

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kerja pemasangan dinding parapet di tapak Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta-merta sehingga siasatan tragedi kepingan konkrit jatuh dan menghempap kereta pengguna jalan, selesai.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, sepasukan penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sudah diarah untuk melakukan siasatan komprehensif berhubung perkara itu.

Katanya, siasatan juga akan mengenal pasti punca dan menentukan sama ada terdapat perlanggaran kehendak perundangan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Mengikut akta ini menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi semua pekerjanya mahupun orang awam.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang berkata, kementerian memandang serius setiap kemalangan mahupun penyakit yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuklah kes membabitkan orang awam di sektor pembinaan.

Katanya, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja bermula daripada peringkat reka bentuk projek lagi

"Kementerian menerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP sentiasa komited untuk terus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu kementerian menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada mangsa serta keluarganya atas kejadian yang berlaku di tapak projek SUKE, pakej CA2.

Berita berkaitan

Syukur kakak selamat

Ketat aspek keselamatan laluan dalam binaan

Wanita nyaris maut, konkrit lebuh raya hempap kereta

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 5:01pm
d