mutakhir

Berangan nak ada pistol?

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Rata-rata menyimpannya sebagai koleksi peribadi 'maut'. Namun tindakan membeli atau menjual senjata api tiruan tetap dianggap jenayah serius oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini dibuktikan apabila sebanyak 58 kes dan 198 senjata api tiruan dirampas polis tahun ini kerana menyalahi undang-undang Akta Senjata Api 1960.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, rampasan senjata api tiruan itu hasil maklumat dan siasatan oleh pihak polis berhubung kegiatan itu.

Menurutnya, perbuatan mengimport dan membeli senjata api tiruan jelas menyalahi undang-undang Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Perbuatan mereka ini wajar dihentikan atau mereka akan berdepan hukuman berat.

"Berhubung dakwaan ada individu yang menawar penjualan senjata api tiruan itu di laman sosial WhatsApp, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang menjalankan siasatan," katanya kepada Harian Metro tadi.

Terdahulu seorang individu menjual senapang dan pistol angin 'airsoft' yang menyerupai senjata sebenar tetapi menggunakan peluru bebola besi dan gel di kumpulan laman sosial WhatsApp.

Malah individu terbabit turut menunjukkan video demontrasi penggunaan senjata api tiruan itu dengan menembak kuali sehingga berlubang.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 5:05pm
d