mutakhir

PGA rampas 1.6 tan ketum

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) Wilayah Utara dari Batalion 18 PGA dan Skuadran 3 Kereta Perisai Briged Wilayah Utara merampas lebih 1,609 kilogram (kg) daun ketum dalam tiga siri operasi Op Benteng pada semalam dan hari ini.

Komander PGA Briged Utara Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, semua rampasan dilakukan di daerah ini dan Kangar bermula 5.20 petang semalam hingga 6.30 pagi hari ini membabitkan rampasan bernilai RM48,270.

Menurutnya, pihaknya merampas 644 kg daun ketum bernilai RM19,320 yang diletakkan di dalam 23 guni di pondok di dalam kebun getah di Kampung Kubang Tiga, Padang Besar dalam operasi pertama semalam.

"Bagi operasi kedua, PGA merampas 55 guni hitam berisi 550 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM16,500 yang disembunyikan dalam jeti di Sungai Bahru, Simpang Empat Kangar pada 10.30 malam tadi.

"Dalam operasi ketiga yang berakhir 6.30 pagi tadi, kami merampas 415 kg daun ketum dalam 13 guni bernilai RM12,450 disembunyikan dalam semak berhampiran Pintu A 3 KTJ Pos TS 9, Padang Besar," katanya.

Abdul Ghani berkata, semua daun berkenaan dipercayai disimpan di semua lokasi berkenaan untuk diseludup keluar ke negara jiran berikutan ia tersedia dibungkus dalam bungkusan kecil.

Beliau berkata, anggota PGA turut melakukan tinjauan selama satu jam di sekitar setiap lokasi penemuan bagi mengesan jika ada individu datang untuk mengambil daun ketum berkenaan, namun tiada yang muncul.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 8:19pm
d