mutakhir

Dana RM541,200 selamatkan sekolah Tamil tertua di Pulau Pinang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Bumbung bocor dan dinding retak antara masalah dihadapi sekolah Tamil tertua di Pulau Pinang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sungai Ara, sejak beberapa bulan lalu.

Situasi itu menimbulkan keadaan tidak selesa kepada guru serta 135 murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah itu, K Nadarajan berkata, penantian mereka berakhir apabila menerima dana RM541,200 daripada kerajaan menerusi Penyaluran Sumbangan Bantuan Sekolah Bantuan Kerajaan Tahun 2020.

"Dana ini dipohon daripada Kerajaan Pusat sejak lima bulan lalu dan syukur ia diluluskan dalam masa terdekat sebelum diterima pada 24 Ogos lalu.

"Keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bakal memberi keselesaan kepada murid dan guru malah kami anggap ia sebagai 'hadiah' sempena Hari Malaysia kepada warga sekolah ini," katanya dalam sidang media, hari ini.

Nadarajan berkata, dana itu akan digunakan bagi melakukan kerja membaiki bumbung, pagar sekolah, mengecat dinding, pendawaian dan beberapa lagi kerosakan.

Katanya, kali terakhir mereka melakukan kerja pembaikan sekolah ialah lima tahun lalu dengan kos mencecah hampir RM100,000.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 8:20pm
d