mutakhir

Sengsara berganda rakyat Gaza! diserang Zionis dan Covid-19

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Kemudahan kesihatan daif selain sekatan berterusan dikenakan Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Gaza dianggap ancaman terbesar ketika virus Covid-19 kian menular ke 'penjara' terbesar dunia itu.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) atau MCM, Zulkifli Wahijan berkata, berdasarkan maklumat diberikan wakil MCM di Tebing Barat Gaza dan Baitulmaqdis, situasi pandemik Covid-19 membabitkan penduduk Islam di wilayah bergolak itu cukup serius.

Menurutnya, wakil MCM di Gaza iaitu Mohammad Fahjan, Abdul Kareem dan Abdul Ghani Yassin memaklumkan lebih 1,500 penduduk Gaza disahkan positif Covid-19 selain 10 kematian dilaporkan setakat ini.

"Berdasarkan kenyataan terbaru Kementerian Kesihatan Gaza, terdapat 109 jangkitan Covid-19 terbaru berdaftar membabitkan individu dikuarantin termasuk kematian membabitkan seorang wanita berusia 77 tahun dari kota Khan Younis.

"Perintah berkurung turut dikenakan pihak berkuasa Gaza dengan mewajibkan orang ramai mematuhi arahan penjarakan fizikal selain penutupan pejabat, restoran, sekolah dan masjid.

"Sistem kesihatan Gaza yang serba kekurangan akibat sekatan sempadan selain masalah sumber ubat-ubatan dan kewangan dibimbangi menyebabkan wabak Covid-19 merebak lebih luas sekaligus menjadi malapetaka di Gaza," katanya.

Menurutnya, Gaza turut menghadapi kekurangan tenaga elektrik yang teruk susulan tindakan Israel memutuskan bekalan bahan bakar.

"Akibatnya penduduk di Tebing Gaza hanya menerima bekalan elektrik selama empat jam sehari.

"Lebih perit apabila pesawat pejuang Israel terus mengebom Gaza selama 12 hari berturut-turut menyebabkan ramai rakyat Palestin di Gaza maut termasuk letupan besar di kawasan kejiranan Shijaiaa.

"Selain itu seorang wanita Gaza yang mahu membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital selepas disyaki dijangkiti Covid-19 dihalang dari melepasi sempadan Beit Hanoun oleh tentera Zionis. Akibatnya, wanita itu menjangkiti pula ramai mangsa lain," katanya.

Menyedari krisis kemanusiaan dihadapi penduduk Gaza MCM berusaha untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada rakyat Palestin terbabit.

"Keadaan di Gaza sangat kritikal. Muslim Care Malaysia sudah memulakan kempen bantuan 'Malaysia Aid4Gaza' untuk membantu penduduk Gaza memerangi Covid-19.

"Setakat ini sebanyak RM200,000 sudah disalurkan kepada rakyat Gaza melalui sumbangan bungkusan makanan, pelitup muka, sarung tangan, pensanitasi tangan dan pelbagai keperluan lain.

"Malah sumbangan rakyat Malaysia itu digunakan untuk membeli bahan api kenderaan bagi memudahkan pesakit dibawa ke hospital," katanya.

Sebarang sumbangan atau Infaq untuk rakyat Palestin di Gaza boleh disalurkan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490211159. Orang ramai turut boleh menghubungi Muslim Care Malaysia di talian 011 5005 0035 atau Zulkifli Wahijan di talian 019 2518771 untuk pertanyaan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 8:28pm
    d