mutakhir

Mohon Bukit Bendera diiktiraf sebagai Rizab Biosfera

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berharap kawasan hutan berkenaan akan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Rizab Biosfera (Biosphere Reserved).

Pengurus Besarnya, Datuk Cheok Lay Leng berkata, ia berikutan kertas kerja bagi permohonan yang dikemukakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), sudah diluluskan Kabinet, awal bulan ini.

Beliau berkata, Rizab Biosfera itu membabitkan kawasan hutan seluas 12,481 hektar di Bukit Bendera, Taman Laut dan Taman Negara Teluk Bahang, di sini.

"Difahamkan, Kabinet sudah meluluskan dokumen berkenaan yang akan diserahkan kepada Suruhanjaya UNESCO Malaysia (SKUM).

"Namun penilaiannya mungkin mengambil sedikit masa iaitu antara dua hingga tiga tahun.

"PBBPP sudah menentukan menentukan zon teras, zon penampan dan zon peralihan serta kawasan yang perlu dilestarikan," katanya dalam sidang media, semalam.

Cheok ditemui di Majlis Perasmian Banglo Hillside Retreat Bukit Bendera oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Setakat ini, hanya ada dua cadangan UNESCO di negara ini iaitu Tasik Chini di Pahang dan Banjaran Crocker di Gunung Kinabalu, Sabah.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 8:28pm
d