mutakhir

Pesawat ringan dipercayai terhempas ke laut

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Sebuah pesawat ringan dikhuatiri terjunam sebelum terhempas ke dalam laut berhampiran perairan Tanjung Bunga, di sini, hari ini.

Pesawat terbabit dipercayai berlegar di udara kawasan itu pada 2 petang sebelum terhempas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada saksi memaklumkan dia bersama rakannya ternampak pesawat ringan itu terhempas ke dalam laut.

Katanya, mereka mendakwa melihat pesawat itu terhempas pada 2 petang sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Polis bersama beberapa agensi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu.

"Namun sehingga 6.30 petang, kami tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat didakwa terhempas itu," katanya.

Soffian berkata, sehingga kini polis belum menerima laporan berhubung insiden pesawat terhempas daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Katanya, operasi dihentikan pada 7 malam berikutan cuaca gelap dan akan disambung esok sekiranya polis mendapat maklumat baru mengenai kejadian itu.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Setakat ini kami memang tidak menerima laporan daripada keluarga mangsa," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 2.28 petang.

Katanya, kerja menyelamat membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal.

"Ketika tiba di lokasi, didapati tiada maklumat jelas mengenai kejadian itu dan jarak daratan dengan lokasi dianggarkan kira-kira empat kilometer," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 8:49pm
d