mutakhir

PRN Sabah: Individu positif Covid-19 jangan keluar mengundi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghalang sesiapa saja untuk keluar mengundi susulan peningkatan kes Covid-19 di pantai timur Sabah.

Namun, perkembangan terbaru penularan itu mungkin menjejaskan peratusan keluar mengundi pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, mereka yang positif dan dikuarantin dinasihatkan untuk terus kekal di rumah.

Menurutnya, penularan dalam skala lebih besar boleh berlaku sekiranya pesakit positif Covid-19 terdedah dalam kalangan masyarakat dan ia mungkin menyebabkan kewujudan kluster baharu.

"SPR tidak menghalang sesiapa untuk mengundi tapi jika positif dan dikuarantin lebih baik kekal di rumah.

"Ia akan membahayakan masyarakat yang keluar mengundi selain memberi risiko kepada petugas di pusat pembuangan undi jika penularan berlaku dalam kalangan mereka yang positif.

"Kita sangat bimbang sekiranya wujud kluster baharu ketika proses PRN Sabah ini berlangsung kerana peningkatan kes mendadak di pantai timur Sabah setakat ini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Abdul Ghani berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diguna pakai sepanjang tempoh berkempen dan mengundi termasuk bilik khas untuk mereka yang bergejala.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Jawatankuasa Kabinet akan membincangkan isu keselamatan dan kesihatan di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Selasa ini.

Ismail Sabri berkata, ia susulan peningkatan kes penularan di Sabah menjelang PRN.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, setiap rakyat berhak mengundi walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan.

Beliau juga meminta SPR sediakan ruang serta SOP supaya mereka boleh menunaikan tanggungjawab.

Namun, berbeza dengan pandangan diutarakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyokong kenyataan Ismail Sabri bahawa individu positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar mengundi.

Beliau berkata, ini kerana tidak mahu mereka yang positif menjangkiti pengundi lain yang hadir ke pusat pengundian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 11:02am
    d