mutakhir

Mesej tersirat dalam karya seni [METROTV]

Oleh Olivia Miwil

Kota Kinabalu: Sekumpulan karyawan tempatan bersatu bagi menghantar mesej rakyat menerusi karya seni mereka.

Dikenali sebagai Pangrok Sulap, salah seorang ahlinya, Rizo Leong berkata, kumpulan itu disertai oleh individu yang terdiri daripada latar belakang yang pelbagai.

Mereka menggunakan ukiran kayu untuk menyampaikan mesej mengenai kehendak pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Daripada pemerhatian kami, senario pilihan raya bertumpu kepada usaha ahli politik untuk mencari kesalahan lawannya.

"Tetapi, apa yang rakyat harapkan pada pilihan raya ini adalah (usaha menyediakan) jalan berturap kepada mereka, bukannya (isu) lompat parti," katanya ketika ditemui di studio di Alamesra, di sini.

Hasil karya kumpulan itu yang menjadi tular di kumpulan WhatsApp dan media sosial, dihasilkan pada hujung minggu lalu.

Leong berkata, pihaknya akan menerbitkan satu karya seni pada satu-satu masa di media sosial.

Selain itu, mereka akan menjual baju-T dan poster kepada orang ramai.

"Dengan menggunakan media sosial, mesej dapat disebarkan dengan lebih pantas kepada pengundi.

"Pada pilihan raya, pengundi mempunyai hak memilih. Jadi, kami berharap dengan hasil seni ini, mereka dapat membuat keputusan dengan bijak," katanya.

Seorang lagi ahli kumpulan itu, Bam Hizal, 31, yang juga karyawan sepenuh masa berkata, hasil seni itu adalah idea berkumpulan untuk menghantar 'suara' golongan yang memerlukan.

"Inspirasi kami adalah berdasarkan kepada apa yang kami lihat dan dengar ketika kami menyertai program kemasyarakatan di kawasan pedalaman.

"Isu seperti infrastruktur, ibu bapa mempunyai kekangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah," katanya.

Menurutnya, isu lain termasuk berhubung alam sekitar, warisan dan budaya; serta keindahan alam semula jadi Sabah.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 11:04am
d