mutakhir

PRN Sabah: ADUN, Ahli Parlimen perlu sepakat

Oleh Izwan Abdullah

Bongawan: Golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan mahu lebih banyak program yang membabitkan golongan itu diwujud atau dilaksanakan di kawasan berkenaan menerusi kerjasama erat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Berikutan itu mereka menyuarakan harapan agar calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Bongawan, Ag Syairin Ag Bakar mendapat kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu ini.

Bagi warga belia di kawasan ini, kemenangan Ag Syairin penting supaya Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Januari lalu atas tiket BN mudah bekerjasama dengan beliau.

Pengundi dari Kampung Tengah, di sini, Mohd Idham Ibrahim, 36, berkata, wakil rakyat dari parti yang sama di DUN dan Parlimen memudahkan usaha membawa pembangunan dan melaksanakan program untuk kepentingan penduduk termasuk golongan belia.

"Kalau kedua-dua wakil rakyat datang dari parti yang sama, sudah tentu mereka bersatu hati untuk melaksanakan apa saja program untuk penduduk di sini yang disalurkan kerajaan Pusat dan negeri.

"Sebaliknya, kalau wakil rakyat di DUN bukan dari parti yang sama dengan wakil rakyat Parlimen, banyak perkara yang sukar dilaksanakan kerana tiada persefahaman, jadi ini merugikan penduduk dan kita golongan belia juga sukar mendapat apa yang kita perlukan di sini," katanya.

Sebagai belia, mereka mahu wakil rakyat di DUN dan Parlimen mengambil usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu belia mewujudkan koperasi sebagai landasan untuk mengembangkan ekonomi Bongawan.

Katanya, kemudahan sukan seperti kompleks mini belia juga perlu diberikan perhatian memandangkan ketika ini tiada tempat khusus untuk belia di DUN Bongawan untuk melakukan aktiviti sukan.

"Saya percaya kalau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen datang dari parti yang sama iaitu BN pasti lebih mudah untuk mereka bekerjasama melaksanakan keperluan seperti ini, terutama jika gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya mengambil alih kerajaan negeri," katanya.

DUN Bongawan adalah sebahagian daripada Parlimen Kimanis selain sebuah lagi DUN iaitu Membakut.

Sementara itu, seorang lagi pengundi di kawasan ini, Kinang Abdullah, 24, beliau berkata, tumpuan juga perlu diberikan terhadap usaha untuk membangunkan institut kemahiran bagi memudahkan belia dan penduduk sekitar kawasan itu mengikuti kursus yang dapat memberi nilai tambah kepada mereka.

Katanya, pembangunan institut kemahiran hanya dapat direalisasikan jika Ahli Parlimen dan ADUN dapat bekerjasama memanjangkan perkara itu kepada kerajaan Pusat dan negeri mengikut kebijaksanaan masing-masing.

"Namun, kalau berlainan parti, bukan saja tidak dapat bekerjasama, malah mungkin apa yang dicadangkan seorang daripada wakil rakyat itu tidak dipersetujui atau dibantah oleh yang satu lagi. Ini pastinya merugikan rakyat Bongawan," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap calon BN di DUN Bongawan kali ini mendapat kemenangan agar Ahli Parlimen dan ADUN dapat bekerjasama sebagai satu pasukan untuk kebaikan rakyat Bongawan.

DUN Bongawan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon BN dengan calon Parti Cinta Sabah (PCS) yang juga presidennya dan bekas Ahli Parlimen Kimanis selama tiga penggal, Datuk Seri Anifah Aman; calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Mohd Azree Abd Ghani dan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga penyandang kerusi berkenaan, Dr Daud Yusof.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 12:17pm
d