mutakhir

'Setiap waktu doakan jasad anak ditemui'

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: "Hampir sebulan anak saya hilang di laut dan sehingga kini jasadnya belum ditemui.

"Setiap kali solat, saya tidak pernah putus mendoakan supaya kematian anak saya bertanda walaupun tidak dibawa pulang ke tanah air," luah Rosidah Abdul Manaf, 54, iaitu ibu kepada Nik Hafizi Nik Long, 25, yang tergelincir sebelum dibawa arus di Little Beach, New South Wales, Australia, 29 Ogos, lalu.

Rosidah berkata, sehingga kini dia masih berharap jasad anak anak kelima daripada lapan beradik itu ditemui, walaupun mengakui agak sukar kerana hampir sebulan sudah berlalu.

"Sehingga kini, segala maklumat disampaikan oleh anak saudara saya yang berada di Australia. Pihak berkuasa di sana juga sudah menamatkan operasi selepas seminggu tragedi menimpa Nik Hafizi.

"Mak cik buntu memikirkan nasib yang melanda anak. Sudahlah jauh di negara orang. Apa yang saya mampu lakukan adalah berdoa dan terus berdoa supaya jasad Nik Hafizi ditemui," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 2 petang waktu tempatan, 29 September lalu, Nik Hafizi dikatakan bersama lima sepupunya ke lokasi berkenaan untuk memancing sebelum tergelincir dan dibawa arus.

Rosidah berkata, mereka sekeluarga turut mengadakan solat hajat bagi memudahkan segala urusan yang menimpa anaknya.

"Sejak kejadian itu, kehidupan mak cik berubah seratus peratus kerana tiada lagi panggilan telefon daripada Nik Hafizi setiap minggu seperti kebiasaan.

"Mak cik terlalu rindukannya kerana sudah lima tahun tidak berjumpa. Ada kalanya jika duduk keseorangan, mak cik menangis kerana mengenangkan nasib menimpa anak.

"Justeru, saya meminta doa seluruh rakyat Malaysia supaya mendoakan jasad anak saya ditemui dalam masa terdekat," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 12:37pm
d