mutakhir

Waris arwah Mohd Rozaine dicari

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Polis sedang mengesan waris lelaki yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu, Rabu lalu.

Mangsa, Mohd Rozaine Ishak, 49, beralamat Vista Tasik, Jalan Sri Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Jerteh, jam 9 pagi pada 25 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Beat berlanggar dengan motosikal Honda EX5.

Difahamkan sebelum kejadian, penunggang Honda EX5 dari Kampung Padang Landak menghala ke Pekan Jertih berhenti di jalan dekat jambatan Jertih kerana sakit kaki.

"Mangsa yang datang dari arah sama secara tiba-tiba terlanggar belakang Honda EX5.

"Disebabkan itu mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan sebelum dipindahkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rozak berkata, pihaknya menerima makluman dari HSNZ mangsa disahkan meninggal dunia jam 1.42 tengah hari pada 16 September berpunca dari kecederaan di kepala.

"Setakat ini mayat si mati masih belum dituntut dan kita masih berusaha menjejaki warisnya.

"Alamat pada kad pengenalan si mati adalah alamat rumah sewa dan hasil siasatan dilakukan penghuni rumah itu tidak mengenali si mati," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, si mati sebelum ini berada di Besut untuk mendalami ilmu agama tetapi tidak ada yang mengenali waris kepada si mati.

"Kita memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6956222 atau bahagian trafik 09-6972700," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 12:52pm
d