mutakhir

Tukang cat sorok seguni pil kuda [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, seorang pengedar dadah terjun dari tingkap rumahnya di Kampung Chabang Empat, di sini, 18 September lalu.

Dalam serbuan jam 9.20 malam itu, lelaki itu berjaya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, pemeriksaan dalam rumah menemui 229 pil kuda di lantai bilik.

"Suspek yang berusia 46 tahun itu kemudiannya menunjukkan sejumlah dadah dalam guni yang disorok di bawah rumah.

"Keseluruhan pil kuda yang dirampas berjumlah 318,229 biji dengan anggaran nilai RM3 juta," katanya ketika sidang media di IPD Tumpat, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, semua pil kuda itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand menerusi Sungai Golok dan disimpan di rumah yang dihuni suspek bersama ibunya itu sebelum diagihkan kepada pembekal.

Menurutnya, rampasan pil kuda yang boleh digunakan oleh 159,000 penagih itu adalah untuk pasaran Kelantan dan Terengganu.

"Hasil ujian saringan mendapati suspek yang aktif sejak Julai lalu itu positif dadah jenis Methampethamine dan daripada semakan yang dibuat, dia tiada rekod lampau," katanya.

bdullah berkata, melihat kepada bilangan rampasan yang banyak, pihaknya percaya suspek tidak bergerak berseorangan dan sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan rangkaiannya.

"Suspek yang bekerja sebagai tukang cat ditahan reman selama seminggu bermula 19 hingga 25 September.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 2:32pm
d