mutakhir

Mayat PATI lemas ditemui

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Satu lagi mayat dipercayai pendatang asing tanpa izin, (PATI) ditemui di Pesisir pantai teluk C, Kota Tinggi, Johor, pagi ini.

Ini menjadikan tujuh mayat PATI sudah ditemui akibat lemas dalam kejadian awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata mayat berkenaan yang ditemui kira-kira jam 9.25 pagi tadi, dipercayai warga Indonesia yang cuba menyeludup masuk negara menerusi laluan tidak diwartakan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini, bagi bedah siasat dan pemeriksaan Covid-19.

"Identiti dan jantina mangsa belum dikenal pasti dan siasatan punca kejadian sedang dijalankan.

"Mangsa dipercayai lemas ketika cubaan memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan, awal pagi semalam, "katanya.

Penemuan satu lagi mayat itu menjadikan tujuh mayat PATI yang dipercayai lemas sudah ditemui.

Malam tadi, enam individu dipercayai PATI yang cuba menyeludup masuk ke negara ini ditemui lemas di pesisir Pantai Teluk C, Bandar Penawar, di Kota Tinggi, awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kesemua mangsa berkenaan dipercayai lemas ketika cubaan memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak di wartakan.

Dalam waktu yang sama, seramai sembilan PATI warga Indonesia turut dilaporkan ditangkap dalam operasi oleh anggota Rejimen Pertama Kor Armor DiRaja di lokasi berkenaan, semalam.

Semua PATI yang ditahan itu dilaporkan termasuk tiga wanita, berusia antara 36 hingga 58 tahun, dikesan ketika bersembunyi di dalam kawasan berhampiran pantai.

Berita berkaitan

6 PATI lemas ketika cuba seludup masuk

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 4:12pm
d