mutakhir

Dua pasangan kekasih edar dadah ditahan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Empat individu termasuk dua wanita ditahan di sebuah rumah di Bandar Kuantan Puteri di sini, selepas disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah.

Mereka berusia antara 19 hingga 25 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Jumaat lalu dan turut merampas dadah serta menyita kenderaan bernilai RM149,800.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya bertindak atas maklumat dan menyerbu rumah berkenaan pada 4 pagi.

"Anggota menemui satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan jernih disyaki syabu seberat 61.31 gram, manakala pemeriksaan ke atas sebuah kereta di hadapan rumah menemui sembilan ketulan mampat daun kering pelbagai saiz yang dibaluti dengan plastik lutsinar dipercayai ganja seberat 2,924.51 gram.

"Turut ditemui enam paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 2,726.89 gram. Keseluruhan dadah ditemui bernilai RM38,800.

"Kita menyita dua kereta dan tiga motosikal yang dianggarkan RM111,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, ujian saringan air kencing ke atas empat suspek mendapati negatif dadah dan mereka juga tiada rekod kesalahan lampau.

Katanya, keempat-empatnya dipercayai pasangan kekasih berasal dari sini dan Pekan, ditahan reman tujuh hari hingga 25 September untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Difahamkan dadah yang dirampas boleh digunakan 11,700 penagih dan dipercayai untuk pasaran sekitar Kuantan, Pekan dan Kemaman di Terengganu," katanya yang memberitahu tangkapan itu melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Kuantan.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 4:21pm
d