mutakhir

Kerjasama 4 universiti pulihkan Sungai Kim Kim

Johor Bahru: Empat universiti bekerjasama bagi melaksanakan proses rehabilitasi (pemulihan) khususnya berkaitan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang menerusi beberapa inisiatif yang dijangkakan pada November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, antara universiti yang terbabit merangkumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad memandang serius tentang apa yang berlaku termasuk banyak input bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan secara amnya rakyat.

"Setiap universiti ada memberi input berkenaan Sungai Kim Kim bukan sahaja mahu ia bersih daripada segi tidak ada pencemaran, kita mahu mengubah kawasan itu menjadi pusat rekreasi untuk digunakan masyarakat.

"Kita mahu satu landskap yang mesra masyarakat seperti pusat rehabilitasi dan riadah khususnya penduduk di Pasir Gudang dan tidak nampak seperti di kawasan perindustrian.

"Hasil kajian mahupun hasil universiti sudah dibawa ke perhatian Menteri Besar Johor termasuk beberapa siri taklimat.

"Ia akan membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bergabung sebagai satu pasukan untuk meneliti tentang apa yang boleh dilakukan," katanya

ketika sidang media selepas program Syarahan Perdana Profesor di Dewan Sultan Iskandar UTM di sini, hari ini.

Hadir sama Dekan Fakulti Sains UTM, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff.

Menurutnya, bagi mengelakkan insiden pencemaran Sungai Kim Kim berulang, kerajaan negeri dengan kerjasama JAS akan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara berkala terhadap kawasan perindustrian di sekitarnya.

Vidyananthan berkata, peruntukan bagi pemulihan Sungai Kim Kim itu diharapkan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2021, selain pada masa sama kesedaran masyarakat terhadap kebersihan Sungai secara keseluruhan diperlukan bagi mengelak pencemaran sungai berlaku," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 4:29pm
d