mutakhir

Sabah perlu kerajaan stabil [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Belud: Sabah memerlukan politik perubahan supaya pembangunan holistik dapat terjemahkan kepada rakyat.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, landskap politik sedemikian diperlukan kerana masih banyak penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

Menurutnya, politik kini dilihat lebih cenderung kepada konfrontasi dan persepsi sehingga rakyat keliru untuk memilih kerajaan yang benar-benar komited membangunkan negeri.

"Sabah perlukan politik pembangunan dan sebuah kerajaan yang stabil perlu dipilih supaya seiring dengan Kerajaan Pusat.

"Asas ekonomi Sabah masih lemah sehingga tidak dapat bergerak sendiri tanpa bantuan dana daripada Kerajaan Pusat sehingga sukar melaksanakan pembangunan menyeluruh terutamanya di pedalaman," katanya dalam temu bual khas NSTP, di sini.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Usukan berkata, walaupun BN digelar parti Semenanjung namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat untuk memperjuangkan Perjanjian Malaysia (MA63).

Tambahnya, persepsi BN tidak memperjuangkan MA63 adalah tidak tepat malah perbincangan lebih mudah dilakukan sekiranya kerajaan negeri seiring dengan Kerajaan Pusat.

"Sentimen 'Sabah untuk orang Sabah' hanya ditiupkan pihak tertentu untuk menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat.

"Kuasa autonomi yang dituntut perlu jelas supaya rakyat lebih faham dengan perjuangan untuk rakyat Sabah," katanya yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Mengulas lanjut mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Salleh berkata, masyarakat Usukan masih memerlukan kemudahan infrastruktur terutamanya capaian internet untuk meningkatkan aktiviti ekonomi.

Katanya, pengumuman kerajaan untuk menambah baik ke Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi meningkatkan kemudahan jalur lebar di negeri itu.

"Internet kini penting dalam pelbagai aktiviti sosio ekonomi dan pengumuman kerajaan untuk naik taraf capaian internet memang dinantikan rakyat Sabah.

"Dengan meningkatnya aktiviti sosio ekonomi, ia sekali gus membantu penduduk meningkatkan pendapatan dan memulihkan taraf hidup," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 5:15pm
d