mutakhir

Pantau gajah guna dron

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor akan membuat pemantauan pergerakan gajah menerusi dron bagi mengesan pergerakan kawanan gajah yang memasuki kawasan FELDA di Mersing.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban, berkata ia susulan dua kumpulan gajah dilaporkan memusnahkan tanaman peneroka di FELDA Tenggaroh Timur 1, Mersing, sejak dua minggu lalu.

Katanya, tindakan kawalan gajah oleh Jabatan PERHILITAN Johor dilakukan pada Selasa lalu di FELDA Tenggaroh 5 , selepas mendapat aduan peneroka di sana.

"Namun tindakan kawalan tidak dilakukan di FELDA Tenggaroh Timur 1 selepas dimaklumkan oleh pengadu bahawa kumpulan gajah terbabit didapati bergerak ke arah FELDA Tenggaroh 5.

"Pengurusan FELDA Tenggaroh 5 juga turut membuat aduan pada hari yang sama.

"PERHILITAN Johor akan membuat kawalan dan pemantauan menggunakan dron apabila cuaca mengizinkan bagi mengetahui arah pergerakan kumpulan gajah ini sekali gus membuat tindakan kawalan bagi mengelakkan haiwan berkenaan terus memasuki kawasan ladang FELDA," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas aduan peneroka FELDA Tenggaroh Timur 1, Mersing yang dilaporkan kebimbangan selepas lebih 1,000 tanaman sawit mereka dimusnahkan kawanan gajah dalam tiga kejadian berasingan sejak dua minggu lalu.

Hasil penelitian peneroka dan pengurusan FELDA Tenggaroh Timur 1, dilaporkan terdapat dua kawanan gajah yang menyerang di FELDA berkenaan iaitu kawanan gajah dari Hutan Simpan Jemaluang dan kawanan gajah Sedeli.

Mengulas lanjut, Salman berkata, pengurusan FELDA turut diminta untuk membantu membuat kawalan jika terdapat kawanan gajah yang cuba memasuki kawasan berkenaan.

"Segera maklumkan kepada PERHILITAN jika kumpulan gajah masuk semula ke kawasan ladang bagi pihak kami membuat kawalan dan tindakan susulan," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 5:49pm
d