mutakhir

Dakwaan Mohamaddin Ketapi berniat jahat [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: UMNO Bahagian Kalabakan hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa insiden di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanyalah sandiwara dan peperangan bersama 'ayam' dan 'anjing'.

Ketuanya, Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata kenyataan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

"Kenyataan sedemikian sangat sensitif sehingga sanggup memperlekehkan pengorbanan pasukan keselamatan yang berjuang menentang musuh semasa insiden di Tanduo.

"Apakah parti WARISAN sudah ketandusan isu sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan berunsur biadap semata-mata untuk meraih dan mendapatkan undi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Kalabakan, Aslan Fadli Samsul Alang menyifatkan tindakan calon Dun Segama itu sebagai pengkhianatan dan penghinaan kepada negara.

"Kita menuntut beliau menarik balik kata-kata penghinaan itu selain permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya keluarga pasukan keselamatan yang terkorban semasa menjalankan tanggungjawab mempertahankan tanah air.

"Kita juga minta Kementerian Dalam Negei (KDN) mengambil tindakan tegas dan menyiasat dakwaan bekas menteri berkenaan," katanya.

Sebelum ini, satu klip video memaparkan ucapan Mohamaddin yang mengeluarkan kata-kata tidak wajar berkaitan insiden pencerobohan di Tanduo dalam satu majlis kempen WARISAN di Kampung Wawasan 1 dan Kampung Damai, dekat Segama Lahad Datu.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 7:01pm
d