mutakhir

Edar produk guna logo halal tidak diiktiraf

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas 7,260 bungkus produk makanan dianggarkan bernilai RM22,056 dalam Ops Suci di sebuah premis makanan yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf di Gombak, pagi tadi.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata, operasi bersepadu yang bertujuan membanteras aktiviti penggunaan logo halal tidak diiktiraf di sekitar daerah Gombak itu membabitkan tujuh penguatkuasa Jais dan empat penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

"Serbuan itu dibuat pada jam 10.45 pagi di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti mengimport dan mengedar produk makanan dan minuman di kedai di sekitar Lembah Klang yang mana menggunakan logo halal yang tidak sah atau tidak diiktiraf Jais atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Pasukan di tempat kejadian mendapati premis sedang beroperasi dan banyak peniaga dan pemborong sedang menjalankan urusan jual beli dalam pelbagai kuantiti.

"Hasil pemeriksaan, penguatkuasa menemui beberapa produk makanan (sejenis jeli yang diproses menjadi mi) diimport dari China oleh syarikat itu yang bertindak sebagai pengedar di Malaysia," katanya sidang media di Majlis Mesra Media di sini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, semakan di dalam sistem My E Halal juga mendapati premis itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

"Keterangan awal dari pemilik syarikat memaklumkan bahawa mereka tidak mengetahui berkenaan penyalahgunaan logo halal yang tidak diiktiraf itu dan hanya mengimport dan mengedarkan produk terbabit di Malaysia.

"Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 7,260 bungkus produk dirampas dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM22,056 dari syarikat yang beroperasi sejak 16 tahun lalu itu.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo dalam Jadual Pertama," katanya.

Beliau berkata, premis itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu tiada seorang pun boleh membuat apa-apa representasi palsu dengan apa-apa cara.

"Siasatan lanjut secara terperinci juga akan dibuat bagi menyabitkan kesalahan terhadap pemilik premis atau mana-mana individu yang bertanggungjawab untuk dipertuduhkan di mahkamah," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 7:37pm
d