mutakhir

Polis siasat 'Penarik Becha'

Oleh Recqueal Raimi

Tuaran: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan pengadu berhubung dakwaan seorang pengguna Facebook yang memuat naik video dan menularkan maklumat palsu mengenai calon DUN Sulaman.

Video berdurasi 3 minit 28 saat dimuat naik pengguna Facebook (FB) menggunakan nama Penarik Becha memaparkan dua daripada tiga individu dalam video terbabit membuat kenyataan berhubung rampasan tanah yang didaftarkan ke atas syarikat milik calon berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim ketika dihubungi berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menerima laporan yang dikemukakan pengadu lelaki berusia 60 tahun, pada 3.20 petang, semalam.

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan dan kesahihan dakwaan video yang tular sejak malam Sabtu lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, Harian Metro semalam melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menularkan video mendakwa beliau merampas tanah orang kampung untuk diserahkan kepada syarikat miliknya.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan itu dilihat satu agenda bagi menjatuhkan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Itu tidak betul. Perkara ini saya rujuk kepada peguam saya termasuk (tindakan) saman. Ini fitnah dan bukan fakta. Dalam politik boleh cakap apa sahaja tapi cakaplah yang betul, jangan main cakap sahaja. Tindakan ini adalah terdesak," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 7:44pm
d