mutakhir

PRN Sabah: 270 polis dikuarantin, tak undi awal [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque da Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seramai 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak mengundi awal kerana masih dikuarantin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, anggota yang terbabit dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berpangkalan di Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, anggota terbabit perlu dikuarantin selepas terbabit dalam penahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dikesan positif Covid-19.

"Setakat ini proses pengundian awal hari ini di seluruh Sabah berjalan lancar dengan 25 peratus sudah keluar mengundi.

"Saya juga sudah keluarkan arahan agar warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) keluar segera mengundi kerana cuaca tidak menentu hari ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Katanya, orang ramai juga diminta untuk tidak bimbang untuk keluar mengundi Sabtu ini kerana polis memberi jaminan keselamatan berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, bagaimanapun orang ramai juga diingatkan agat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran peningkatan kes yang tinggi di Sabah.

"Saya ada dengar dakwaan yang mengatakan jumlah pesakit Covid-19 yang meningkat sengaja dibuat bagi menakutkan orang ramai untuk mengundi.

"Namun, saya beri jaminan isu ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan apa juga data yang dikeluarkan KKM ada benar.

"Saya harap masyarakat beringat dan menunaikan amalan demokrasi pada Sabtu ini tanpa rasa bimbang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 10:40am
    d